Mengimbas persembahan 'Bingkisan Kisah' sempena
Hari Guru SK Merlong 2009
ILHAM CERITA REALITI OLEH :-
Puan Fazlina Bt Rosli (Guru Pemulihan Khas)
MENGENANG KISAH PENGORBANAN GURU SAYA
(CIKGU SITI NAZURA)
SYAIR
Tersebutlah kisah seorang guru
Mendidik mengajar selagi terdaya
Ibarat lilin memberi cahaya
Bukan balasan harta pintanya
Kisah seorang guru wanita di sekolah saya. Sebuah kisah yang meruntun jiwa tentang dirinya.
Cikgu Siti yang saya kenali memang serius ketika mengajar. Kerap juga dia bergurau dengan kami. Ada masanya, dia akan beri kami duit seringgit kalau dapat jawab kuiz cepu emas yang melucukan. Dulu saya kurang minat dan mahir Matematik tapi kian lama kian mantap.
Saya pernah nampak Cikgu Siti hulur wang RM1 kepada Arifin, kawan sekelas saya yang selalu tak bawa wang ke sekolah.
“Makan nasi ya, Pin.Jangan beli keropok.Tak elok.”, ujar Cikgu Siti.
Banyak kali juga. Arifin,kawan saya seorang anak yatim. Ibunya meninggal tahun lepas kerana penyakit TB. Walaupun pakaiannya tidak kemas dan sesekali bau hapak, cikgu Siti selalu dakap dan usap rambut Arifin. Kadang-kadang saya nampak dia beri nasihat kepada Arifin supaya jaga kebersihan pakaian dan tubuh badan.
SYAIR
Tiada guru yang buruk sikapnya,
Menjadi teladan mulia hatinya,
Senang merujuk tempat bertanya,
Semua yang kusut lerai akhirnya.
Pagi itu Cikgu Siti masuk ke kelas macam biasa. Tiba-tiba, Arifin muntah. Kami semua panik dan tak kurang juga yang menekup mulut dan hidung. Saya lihat Arifin macam nak pitam. Muka pucatnya menzahirkan dia sakit. Cikgu Siti terus dukung tubuh kurus Arifin dan keluar kelas. Agaknya ke bilik sakit, kami mendesus. Sebelum keluar, sempat lagi cikgu pesan sambung latihan matematik semalam. Kami semua akur.
Selepas setengah jam, Cikgu pun balik ke kelas. Saya lihat tudung cikgu basah dan ada kesan warna. Bau muntah masih ada. Rupanya di bilik sakit Arifn muntah lagi. Cikgu Siti guru PBSM. Tentu dia dah beri rawatan yang berkaitan. Tapi, muka Cikgu tetap manis. Dia senyum. Tak ada pun suara mengomel tudung maniknya berbau busuk. Sesekali dia mengibas-ngibas tudungnya yang lembab supaya cepat kering. Itu andaian saya.
Sesekali bila teringat kepada Cikgu Siti, saya rasa sangat terharu kerana khabarnya Arifin sekarang seorang business man yang berjaya. Dia tidak lagi memakai kasut yang koyak seperti ke sekolah suatu masa dulu. Bajunya berjenama. Rambutnya yang dulu tidak bersikat kini disisir rapi.
SYAIR
Sekali guru selamanya begitu,
Sentiasa berikhtiar tiada buntu,
Melepas musibah satu persatu,
Jaya akhirnya sudahlah tentu.
Ketika kami berjumpa setelah dewasa (reunion) setahun lepas, saya masih ingat ucapan Arifin di hadapan pentas.
Begini katanya:-
“Saya tidak akan pernah lupa seorang guru yang berhati luhur memberi saya makan ketika saya lapar sepiring nasi. Saya tidak akan pernah lupa seorang guru yang berhati luhur mendakap mesra tubuh saya yang kurus dengan penuh kasih sayang dan meminta saya memanggilnya ibu.”
“Saya tidak akan lupa raut seorang guru yang memberi saya harta sebesar dunia (ilmu). Malah membelikan saya sebatang pensel untuk saya tulis. Kecilnya saya yang kehilangan kasih sayang ibu, tetapi besarnya saya dianugerah Tuhan pula seorang guru.”
Kami mendengar sambil terdiam. Saya pasti sangat-sangat orang yang dimaksudkannya itu.
Arifin berkata lagi
“Sewaktu saya pengsan kerana gastrik, seorang guru yang selayaknya ibu telah merawat saya dengan penuh kasih sayang dan ambil berat. Dengan kereta buruknya, dia menghantar saya pulang. Saya masih ingat bunyi decit keretanya ketika terlanggar lopak di jalan.”
“Hari ini saya berdiri sebagai seorang usahawan berjaya. Seorang yang berkelulusan master dari universiti tempatan. Berkereta mewah, bergaji besar. Malah, pen yang saya tulis juga beratus harganya.”
“Tapi, saya tak pernah lupa kepada bunyi decit kereta buruk cikgu Siti. Saya tak pernah lupa pada bau hanyir muntah yang saya ambak di atas pakaiannya. Saya tak pernah lupa dakapan erat cikgu menenangkan saya ketika saya menangis teringat arwah ibu semasa mendapat keputusan UPSR 4A ketika itu.”
Suara Arifin tertahan-tahan. Sesekali ada juga basah kelopak matanya. Ujar Arifin lagi….
“Andai suatu hari nanti jika kita bertemu lagi, cikgu…. Akan saya lafazkan terima kasih sebesar dunia.”
“Kini….Cikgu Siti dah tiada………dia ada di kuburan sana akibat kanser yang dirahsiakannya dari kami,”
NYANYIAN LAGU
Sayu terpisah
hikayat indah kini hanya tinggal sejarah
berhembus ……angin rindu
begitu nyamannya…. terhidu wangian kasihmu
hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada henti
kaulah laguku …..kau irama terindah
tak lagi kudengari
kau pergi.. pergi..
Saat ini, saya tidak dapat menahan air mata mengenang besarnya pengorbanan seorang guru biasa bernama Cikgu Siti Nazura. Demikianlah pengaruh beliau kepada anak didiknya.
"Cikgu Siti……sekarang, saya juga seorang cikgu,Terima kasih, cikgu! Terima kasih…,"
Lakaran Tinta Pena,
2 comments:
touching giler....basah tisu tuuuu...
mmg bingkisan dr hati ni.....oh guru...mg semua guru2 beroleh keindahan taman syurga...insyallah..
ble baca kisah ini mengingatkan semula saya pd cikgu kesayangan saya itu....agaknya apakah persembahan hari guru tahun nie lagi ye?ups..ada sape2x nak tawarkan diri wat persembahan tak 2011 ini cecikgu sekalian??
Post a Comment