Blog ini masih lagi dalam proses updating. Salam kunjungan buat semua ke blog sekolah kami. Sokongan anda untuk menjadi follower, sign our guestbook, leave a message at shoutmix & feel free to leave a comment post amat dihargai. Updating akan dibuat secara mingguan oleh editor.

School Blog GuestBook

Friday, January 28, 2011

Majlis Perlantikan Pemimpin Muda SK Merlong 2011


Secara dasarnya, kepimpinan ialah suatu seni untuk mendorong dan menghala seseorang atau sesuatu kumpulan ke arah sasaran yang telah ditetapkan dan difahami bersama dalam suasana kerjasama dan rangsangan untuk terus mencapai peralihan tingkah laku ke arah kebaikan dan kejayaan dalam hidup. 

Lantaran itulah, perlantikan pemimpin muda SK Merlong merupakan titik penting bagi mengasah bakat kepimpinan genrasi muda kita. Justeru, Majlis Perlantikan Pemimpin Muda SK Merlong 2011 telah diadakan tanggal  28 Januari 2011 bertempat di Kantin SK Merlong

Acara majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En Ardinorhasairwan Bin Alias. Kemudian satu ceramah kepimpinan disampaikan oleh Wakil Ketua Polis Balai Rengit, Sarjan Maahad Bin Hassan. Ceramah yang dilaksanakan hari ini bertujuan meningkatkan rasa amanah dan kesedaran kepimpinan di kalangan para pemimpin muda SK Merlong yang dilantik.




Upacara penyampaian watikah pelantikan melibatkan para pengawas sekolah, pengawas perpustakaan, ketua darjah,dan pen ketua darjah telah disampaikan oleh Sarjan Maahad Bin Hassan diiringi Guru Besar Pn Hjh Zainah Bt Hj Siraj. Sesi bacaan ikrar menyusul selepas itu diketuai oleh Adik Md Ilyas di hadapan para tetamu kehormat.

Cenderahati kepada wakil Ketua Polis Balai Rengit merupakan penutup majlis yang disampaikan oleh Guru Besar SK Merlong, Pn Hjh Zainah Bt Siraj

Acara fotografi pastinya tidak dilupakan di akhir acara ini.


Apa pun di harapkan majlis pada hari ini menjadikan pelajar akan lebih yakin dan percaya kepada diri mereka sendiri dengan berteraskan kepada bakat kepimpinan masing-masing. Setiap perkara yang mereka akan lakukan adalah berdasarkan kepada ketetapan yang lahir dalam diri mereka. Dengan itu, pelajar-pelajar akan sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dan lebih berdisiplin. Impak yang positif dibina melalui kaedah eksplorasi bakat kepimpinan serta memacu masa hadapan cemerlang





Palitan Tinta Maya,



READ MORE- Majlis Perlantikan Pemimpin Muda SK Merlong 2011

Thursday, January 27, 2011

Program Bersama Ibu Bapa Tahun 6 (Siri 1) 2011


Dalam usaha menggembeleng penerusan kejayaan UPSR 2011, maka program bersama ibu bapa Tahun 6 (Siri 1) telah dijalankan tanggal 27 Januari 2011 bertempat di Kelas Tahun 6. 

Kehadiran ibu bapa pada hari tersebut nyata memberansangkan. Sesi taklimat,pengenalan serta motivasi penuh dilakukan oleh Guru Besar Pn Hjh Zainah Bt Hj Siraj. Sememangnya hasrat dan tekad Guru Besar baru ingin melonjakkan SK Merlong pada sasaran 100% bagi UPSR tahun ini penuh berkobar-kobar. 


Justeru itu lah maka pertemuan dengan ibu bapa Tahun 6 kali ini diadakan bagi menyemarakkan rasa tersebut demi menggerakkan anak-anak murid Tahun 6 ini ke arah pendekatan dan pemupukan kasih sayang bermula dari rumah dan diteruskan tradisi didikan di sekolah oleh ibu bapa kedua mereka iaitu para guru yang dikasihi.



Salam ukhuwah pelukan tanda kasih sayang sesama ibu bapa dan murid menutup jalinan program pada hari tersebut. 




 Coret Tinta Pena,


READ MORE- Program Bersama Ibu Bapa Tahun 6 (Siri 1) 2011

Tuesday, January 25, 2011

Selakan Lawatan Unit Peperiksaan PPD Batu Pahat


 Warga sekolah mengalu-alukan kedatangan En Azman
dari Unit Peperiksaan PPD Batu Pahat atas kunjungan dan lawatan
ke SK Merlong


Terima kasih sekalung budi kerana memilih Bilik Mesyuarat SK Merlong untuk dijadikan tempat Mesyuarat Setiausaha Peperiksaan Zon Senggarang.



Kepada warga SK Merlong, mari menyahut cabaran
menceriakan suasana Bilik Mesyuarat SK Merlong agar
mendapat tempat di mata umum. 




Coret Tinta Pena,





READ MORE- Selakan Lawatan Unit Peperiksaan PPD Batu Pahat

Friday, January 7, 2011

Sambutan Maal Hijrah 1432 H SK Merlong


Tanggal 7 Januari 2011..buat pertama kalinya membuka tahun baru....maka sambutan Maal Hijrah di SK Merlong juga buat julung kalinya memulakan detik pembaharuan menjalankan aktiviti harian membaca yasin setiap Jumaat pagi di Surau SK Merlong bertempat di Tingkat 4 Bangunan SK Merlong yang tersergam indah itu. 

Titisan air mata bagaikan sayup menyentuh kalbu warga SK Merlong rentetan pertama kalinya Guru Besar yang baru iaitu Pn Hjh Zainah Bt Hj Siraj mengendalikan Majlis Bacaan Yasin dan doa dengan penuh khusyuk dan menimbulkan rasa sayu di hati kala ia dilafazkan dengan penuh rasa dari sanubari.


Bagi warga SK Merlong jua saya mewakili Team Editorial Blog sesungguhnya menitipkan rasa syukur kerana datangnya kepimpinan baru yang banyak menaburkan perkongsian dan sentuhan  rohani yang berbekas di hati.


Tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Guru Besar Pn Hjh Zainah Bt Hj Siraj seakan membuka bingkisan diari baru. Malah saya kira anak-anak didik begitu khusyuk mendengar setiap bait bicara beliau. Malah, saya dan warga guru lain seakan sedang dalam program muhasabah diri. 

Bila hati terusik,kalbu mula mengatakan bahawa :-

'hidup baru perlu di transformasikan dengan detik langkah baru meski penuh cabaran mengulit kami di SK Merlong.


Pn Suhaila Bt Harun selaku Penyelaras Program Maal Hijrah merangkap Ketua Panitia Pendidikan Islam telah meneruskan agenda program dengan menyampaikan ceramah berkaitan Maal Hijrah untuk semua hadirin di surau tersebut. Banyak info yang telah memberi manfaat ilmu bukan sahaja untuk murid-murid bahkan para guru yang bersama di surau itu.





Pertandingan Mewarna dengan konsep tema '1 Malaysia 1 Ummah' telah dijalankan untuk murid-murid Tahap 1 di dalam kelas selepas itu. 




Manakala Tahap 2 pula, diadakan kuiz berkaitan dengan pengisian ceramah yang menyentuh tentang Maal Hijrah. Guru-guru di kelas memantau perjalanan tersebut.



Apabila loceng rehat berbunyi, maka murid-murid ke Kantin bagi menikmati jamuan 'bubur lambuk' yang disediakan. Begitu juga para guru,staf dan pekerja sekolah.




Sesi kuiz sempena Maal Hijrah menyusul selepas itu dan dikendalikan sekali lagi oleh Penyelaras Program iaitu Puan Suhaila Bt Harun. Bagi murid-murid yang berjaya menjawab, cenderahati diberikan sebagai menghargai murid menjawab soalan.


Sebelum upacara penyampaian hadiah dijalankan, satu persembahan nasyid sempena Maal hijrah turut dipersembahkan oleh murid-murid Tahun 6.




Sesi pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah adalah penutup bagi kemuncak majlis pada hari ini.










Coretan Pena,







READ MORE- Sambutan Maal Hijrah 1432 H SK Merlong

Thursday, January 6, 2011

Salam Maal Hijrah 1 Muharram 2011/1432 Hijrah



Bingkisan ilham puisi kupersembahkan khas 
Buat kalian warga SK Merlong

Di awal tahun baru hijrah,
Ku sujud menghambakan diri pada-Mu,
Hati terus merintih mengenangkan dosa lalu,
Kotornya diri dengan maksiat dan noda,

Lemahnya jiwa berdepan dengan dunia,
Lalainya diri dari mengingati-Nya,
Astaghfirullahal 'adzim....
Banyaknya kekurangan diri,
Ampuni hamba-Mu ini Ya Allah.

Aku sedar,
Jiwa yang tandus taqwa,
Terdorong lakukan apa sahaja,
Sanggup menentang arus kehendak Ilahi,
Yang difikir hanyalah untuk kepuasan diri,
Maka, pabila dosa telah larut,
Gelaplah hati, kotorlah jiwa, murunglah diri,
Itulah fitrah sang pendosa,
Yang leka dari pencipta-Nya.

Namun, bila iman hadir di jiwa,
Mata hati mula bekerja,
Baru kusedar, betapa diri jauh dari-Mu Tuhan,
Asyik sibuk untuk dunia,
Hinggakan solat sering kutunda,
Al-Quran pun malas dibaca,
Lidahku kotor dengan kata-kata dusta,
Mata ini tak kujaga dari perkara dosa,
Telinga ini mendengar apa yang tak sepatutnya,
Kaki ini sering melangkah ke tempat lagha.

Ya Allah,
Jauh sekali diriku dengan peribadi kekasih-Mu,
Kau teladan terbaik bagi seluruh umat,
Ingin sekali aku mencontohi peribadimu, Rasulullah
Meskipun dirimu suci tanpa dosa,
Solat malam tidak pernah kau lupa,
Munajatmu di tengah malam jadi rutin harian,
Pengharapanmu pada Tuhan terlalu tinggi,
Sedang aku???
Seorang hamba yang penuh dosa....
Solat fardhu pun kurang dijaga,
Apatah lagi solat malam sepertimu, Ya Nabiyullah.

Sungguh,
Aku ingin berubah,
Menjadi seorang hamba-Mu yang taat,
Aku takut akan azab kubur,
Aku gerun dengan dahsyatnya neraka-Mu,
Dan kurindukan nikmat syurga.

Jadi,
Kupohon padaMu wahai Tuhan,
Campakkan ke dalam hati ini niat yang tulus,
Ingin sekali aku berdiri di hadapan-Mu dengan jiwa yang tunduk,
Ingin sekali aku rukuk pada-Mu dengan hati yang pasrah,
Dan ingin sekali ku sujud ke hadhrat-Mu dengan punuh kehambaan,

Ya Rahim,
Sucikan hatiku dari sifat munafik,
Sucikan amalku daripada riyak,
Sucikan lidahku daripada dusta dan mataku dari khianat,
Jadikanlah diriku seorang anak yang solehah,
Yang bisa mendamaikan hati Ummi dan Abiku,
Jadikanlah diriku seorang mukminat solehah,
Kerna mukminat solehah itu lebih cantik dari bidadari syurga.

Dan...
Kurniakan aku kesabaran untuk menunaikan ketaatan pada-Mu,
Anugerahkan aku kesabaran dalam meninggalkan maksiat pada-Mu,
Jadikanlah hati ini hati yang sentiasa mengingati-Mu,
Agar dapat ku miliki sekeping hati yang tenang,
Jauh dari hasad dengki dan kepalsuan dunia,
Hadirkanlah cintaku kepada-Mu mengatasi segalanya,
Agar Kau temukan hati yang terbaik buat diriku.

Moga dapat kukecapi, kebahagiaan yang hakiki,
Suatu hari nanti...
Amin....


Salam Maal Hijrah 1 Muharram 1432 Hijrah 
(2011)




Ilham Lirikan Tinta Ketua Editor,



READ MORE- Salam Maal Hijrah 1 Muharram 2011/1432 Hijrah

Lantikan Dalaman Pentadbiran 2011 - GPK 1 & GPK HEM


Dukacitanya setelah pemergian Mantan GPK 1 En Samsudin Bin Kalewan dan Mantan GPK Hal Ehwal Murid (HEM) En Md Yazid Bin Kamri, maka pelantikan baru perlu dijalankan. 

Justeru itulah maka satu mesyuarat khas pelantikan dan sesi pengenalan bersama Guru Besar baru iaitu Pn Hjh Zainah Bt Hj Siraj dilakukan segera pada minggu pertama persekolahan.

Hasil persetujuan sidang mesyuarat, pelantikan di bawah adalah berkuatkuasa pada 5 Januari 2011 secara dalaman bagi membantu shal ehwal pentadbiran SK Merlong.

Tahniah kepada 2 individu yang dilantik :-

GURU PEN KANAN 1 ( BARU )

 Pn Indati Bt Jaafar
GURU PEN KANAN HEM ( BARU )

 En Ardinorhasairwan Bin Alias 

dan buat GPK Kokurikulum yang sedia asal iaitu Cik Rosfarahidayana Bt Moliadi


Semoga dengan adanya jalinan dan kerjasama yang teguh antara kalian, bisa melancarkan lagi perjalanan tugasan dan amanah pengurusan pentadbiran SK Merlong khasnya bagi sesi 2011.




Ikhlas dari :-

READ MORE- Lantikan Dalaman Pentadbiran 2011 - GPK 1 & GPK HEM

Wednesday, January 5, 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Murobbi ila SK Merlong

Tahun 2011 menyaksikan bingkisan cerita kisah baru....membuka lembaran baru
Opss...........kenapa saya katakan ianya semua baru ???


Kerana..........hadirnya insan-insan dalam keluarga baru kami di SK Merlong.
Kegembiraan menyambut kalian semua amat kami alu-alukan
dalam mewarnai citra baru pengurusan dan pentadbiran SK merlong
Tahun 2011




Pertama 


 Guru Besar 2011 (Pn Hjh Zainah Bt Hj Siraj)




Kedua

Guru (Pn Indati Bt Jaafar)


Ketiga 


Guru (En Ardinorhasairwan Bin Alias)


Keempat


Guru (Pn Zalela Bt Othman)



Kelima 



Pengawal Keselamatan (En Kamal)


Selamat Datang & Selamat Bertugas di SK Merlong










Ikhlas Dari :-

READ MORE- Ahlan Wa Sahlan Ya Murobbi ila SK Merlong

Tuesday, January 4, 2011

Menyingkap (Hari Pertama Persekolahan 3 Januari 2011)


Melangkah ke sekolah semula pada jejak kaki pertama tanggal 3 Januari 2011
membuka lembaran baru ..azam baru dan segalanya baru buat semua warga SK Merlong.

Debaran penuh tak terkata seminggu sebelum sesi persekolahan bermula lantaran mendapat berita bahawa Pegawai JPN Johor bakal datang memantau situasi hari pertama di SK Merlong ini





Kedatangan En Nordin, pegawai yang disebut-sebutkan muncul seawal jam 7.15 pagi bersama memeriahkan perhimpunan pertama bersama para guru dan murid-murid SK Merlong.

Nyatanya, saya dapat melihat warna-warna dan keletah ceria murid dan guru menghidupkan suasana dan semangat bagi memulakan sesi persekolahan baru Tahun 2011 ini. Apa tidaknya, apabila melalui kelas Tahun 1 sahaja di awal pagi, pelbagai situasi yang mengiringi anak-anak didik Tahun 1 yang sudah tak sabar bersama kawan-kawan baru dan ada sebahagiannya melonjak ria untuk belajar sekaligus tampil mencari peluang dalam orientasi Tahun 1 yang diadakan.



Alhamdulillah syukur dipanjatkan perhimpunan pagi 3 Januari ini berlangsung dengan jayanya melalui kerjasama warga SK Merlong. Malah kedatangan warga baru dalam edisi kamar pendidik SK Merlong diharapkan menyuntik semangat & aspirasi baru.



Keseluruhannya bila diselidiki akan hasil pemantauan Pegawai JPN iaitu En Nordin, beliau memuji dan berharap pihak sekolah terus berusaha demi kecemerlangan sekolah hendaknya pada masa hadapan. 







Palitan Tinta Ketua Editor,




READ MORE- Menyingkap (Hari Pertama Persekolahan 3 Januari 2011)

Sunday, January 2, 2011

Warna Warni Pendaftaran Persekolahan SK Merlong 2011


Sepertimana yang direncanakan, tanggal 2 Januari 2011 menyaksikan sekali lagi pendaftaran persekolahan bagi tahun 2011 diadakan. Sehari sebelum ia dijalankan, warga pendidik SK Merlong telah bertungkus-lumus menyiapkan segala persiapan yang berkaitan dengan yuran persekolahan dan juga pemberian buku teks kepada murid-murid. 

Sebelum sesi yuran persekolahan dijalankan di Makmal Sains di tingkat bawah bangunan sekolah, taklimat khas kepada ibu bapa telah diadakan di ruang legar kantin SK Merlong. Intipati utamanya adalah berkisar tentang Orientasi Tahun 1 yang bakal dijalankan dan Taklimat Pra Sekolah.




Taklimat Utama iaitu berkaitan Program Orientasi Tahun 1 telah disampaikan oleh GPK Hal Ehwal Murid iaitu 2010/2011 iaitu En Md Yazid B. Kamri kepada para ibu bapa Tahun 1 amnya. Antara yang disampaikan adalah berkaitan maklumat am sekolah, pengenalan sekolah, peraturan murid, perjalanan sesi orientasi yang bakal dijalankan, LINUS dan lain-lain lagi.


Manakala sesi taklimat seterusnya melibatkan murid-murid Pra Sekolah disampaikan oleh Guru Pra Sekolah iaitu Pn Che Mah Bt Hassan. Beliau telah menjelaskan dan memaklumkan hal-hal berkaitan pra sekolah kepada ibu bapa murid-murid khususnya Pra Sekolah yang mendaftarkan anak-anak mereka pada tahun ini.


Setelah selesai taklimat yang dijalankan, maka sesi yuran pendaftaran dan pembahagian buku latihan, stokin dan buku teks telah dilaksanakan oleh guru-guru kelas Tahun 1 hingga Tahun 6. Kehadiran ibu bapa pada hari ini dilihat amat memberansangkan. 


Syabas dan terima kasih atas komitmen semua demi menjayakan pendidikan anak-anak. Semoga sesi persekolahan 3 Januari ini akan diberkati Allah hendaknya.




Tinta Pena Ketua Editor,

READ MORE- Warna Warni Pendaftaran Persekolahan SK Merlong 2011

Saturday, January 1, 2011

Dari Meja Editor Blog ' Selamat Tahun Baru 2011'


Salam Sejahtera 
Khas buat warga SK Merlong dan para pengunjung blog ini


Jejak perjuangan penuh dihitung hari kian hari. Masa sememangnya tidak boleh diundur...Namun setapak perlu kita langkahi demi mencerna segala kebaikan yang bisa diperoleh masa akan datang. 

Lantaran itu, bagi pihak Team Editorial SK Merlong menguatkan semangat dan jati diri untuk meneruskan hasil usaha pembikinan blog sekolah demi menyahut seruan dan lonjakan paradigma baru bagi Sesi 2011.

Jika dahulu, pembikinan Laman Web SK Merlong telah dijanakan hasil ilham En Hamdi B. Md Noor seorang Guru Praktikum (Pemulihan) yang hadir di SK Merlong lantaran kepakarannya dalam bidang ICT, kini saya mengambil alih tanggungjawab tersebut selaku Ketua Editor. Meski diasak dengan habuk-habuk yang ditinggalkan begitu sahaja di laman web tersebut, kini pihak Team Editorial SK Merlong berhasrat akan meneruskan tinggalan tersebut di teratak baru ini.

Fasa untuk tahun 2010 telah pun menutup tirainya semalam. Kini kita semua telah memasuki fasa tahun baru 2011 pula. Selamat tahun baru 2011 saya ucapkan kepada anda semua. Dengan masuknya tahun baru 2011 ini bermakna kita pun telah meningkat setahun lagi usia. Bersyukurlah kita kepadaNya kerana kita masih diberi peluang untuk bernafas dimuka bumi ini.

Setiap kali memasuki tahun baru ramai yang bercakap mengenai azam tahun baru. Saya melihat ramai rakan-rakan facebook yang menulis tentang azam baru mereka untuk tahun baru 2011 ni. Biasa la tu bila memasuki tahun baru ni ramai yang telah menetapkan azam untuk tahun baru. Malah ramai juga yang menulis tidak dapat melaksanakan azam tahun 2010 lalu. Ianya hanya azam tinggal azam dek kerana ianya tidak dapat dilaksanakan.


Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai apa azam sekolah ini khasnya untuk tahun 2011 ni, cuma saya berharap yang setiap tahun baru SK Merlong akan terus menempa kejayaan dan kecemerlangan yang lebih baik lagi dari tahun-tahun yang sebelumnya dan lebih banyak lagi kekuatan yang akan dicapai pada tahun 2011 ini. Semoga dapat menambah lagi pahala dan amal kebajikan dalam hidupkita di dunia ini.

Sebaiknya pada tahun baru 2011 ini kita muhasabah balik diri kita apa yang telah kita lakukan pada tahun 2010 lalu. Adakah banyak kebaikan yang kita lakukan kepada diri sendiri dan juga orang lain? Adakah masa-masa yang kita lalui dalam sehari telah diisi sebaiknya dengan perkara-perkara yang berfaedah? Hanya kita yang boleh membuat penilaian tentang diri kita sendiri. Yang mana keburukan itu hendaklah segera diperbaiki supaya tidak akan diulangi lagi.

Berdoalah kepadaNya supaya diberikan kesihatan dan kehidupan yang baik untuk tahun baru ini. Saya doakan semoga tahun 2011 ini kehidupan kita khasnya warga SK Merlong serta para pengunjung blog ini berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Sayangilah keluarga anda selagi mereka masih bersama dengan anda. Sekali lagi saya ucapkan selamat tahun baru 2011. Terima kasih banyak-banyak juga saya ucapkan kepada anda semua di atas sokongan anda kepada saya selama  ini. :)



Ya Rahman Ya Rahim! Jadikanlah lipatan hari ini pembuka bagi kejayaan, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum Muslimin keseluruhannya memelihara agama-Mu. Hamparkan di dalamnya hamparan rahmat-Mu sepertimana Engkau berikan kepada hamba² Mu yang terpilih. Rahmat yang dapat menghindarkan segala kepayahan dan kerunsingan di sepanjang tahun yang akan datang.

Ya Allah,kekalkanlah tahun 2011 yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagian dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami , kenikmatan yang ada padanya. Tetapkanlah iman kami, kesihatan tubuh badan kami juga kesenangan harta benda kami.

Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan kami, dan terimalah kebaikan kami, berkatilah masa, waktu dan segala gerak-geri kami. Hindarkan kami daripada segala yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan, pengalaman yang menyedihkan dan menyempitkan dada kami. Kurniakan kepada kami keselamatan dalam pemeliharaan-Mu yang dapat melindung kami dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerunsingan. 

Amin.Amin ya Rabbil ‘alamin…



Nukilan Tinta Ketua Editor,



READ MORE- Dari Meja Editor Blog ' Selamat Tahun Baru 2011'
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...